Sunday, April 26, 2015

Kemudahan Bagi Aktiviti Memanah

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Untuk makluman semua, pihak pengurusan kem Iman dengan sukacita ingin mewar-warkan kemudahan baru yang ditawarkan di Kem Iman iaitu, kemudahan bagi aktiviti memanah. Aktiviti ini akan dijalankan di bawah kendalian mereka yang terlatih. Mudah-mudahan aktiviti baru yang ditawarkan ini dapat memenuhi keperluan pihak tuan-puan yang ingin mengadakan aktiviti di Kem Iman.

Untuk pengetahuan, aktiviti memanah merupakan aktiviti yang berupaya melatih seseorang individu untuk menjadi lebih fokus dan mempunyai matlamat dalam kehidupan. Aktiviti memanah memerlukan pemanah sentiasa berada dalam keadaan tenang dan sabar, fokus, mengawal pernafasan dengan baik, membaca keadaan persekitaran dan memerlukan koordinasi mental dan fizikal yang tepat. Ini dapat membentuk individu yang berdisiplin dan mempunyai keyakinan diri yang tinggi.

Aktiviti memanah boleh dimainkan oleh pelbagai peringkat umur dan jantina. Ia juga sesuai untuk riadah seisi keluarga memandangkan sifatnya yang tidak melibatkan sentuhan badan atau pergerakan fizikal dan percampuran yang agresif sifatnya. Yang menariknya lagi, pasukan memanah negara adalah merupakan antara pasukan terbaik di rantau Asia dan juga di peringkat dunia. Siapa tahu, mungkin ada anak-anak kita yang berbakat dan dapat dicungkil dan digilap bakatnya di peringkat awal serta dapat mewakili dan mengharumkan nama keluarga dan negara di persada antarabangsa. Apa yang past, aktiviti ini akan membentuk individu yang berdisiplin, berkeyakinan dan mengelakkan masa terbuang dengan sia-sia.

Akhir kata, Kem Iman ingin mengucapkan ribuan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada para pelanggan yang sudi berkunjung dan mengadakan aktiviti di Kem Iman. Sebarang pertanyaan lanjut berhubung kemudahan baru ini bolehlah menghubungi pihak kem Iman.

Sekian.




Wednesday, February 11, 2015

English In Camp 2014 PUSPANITA Kementerian Pendidikan Malaysia

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia. Alhamdulillah sempena cuti akhir tahun 2014, PUSPANITA KPM telah menjalankan aktiviti English In Camp untuk anak-anak warga KPM di Kem Iman. Seramai 73 orang peserta berumur 9-15 tahun telah menyertai kem ini yang berlangsung pada 6-8 Disember 2014. Kem ini menggunakan modul yang dibangunkan oleh pensyarah dari English Language Teaching Centre (ELTC) manakala para fasilitator terdiri daripada pensyarah dan guru pelatih dari Institut Perguruan Kampus Bahasa Antarabangsa (IPGKBA). Pihak Yayasan Bank Rakyat juga turut bermurah hati menaja hadiah bagi menceriakan lagi para peserta. Piahk PUSPANITA KPM mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang membantu menjayakan program ini.

Objektif program bertujuan untuk membantu murid meningkatkan keyakinan berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris melalui aktiviti menarik dan menyeronokkan seperti treasure hunt, jungle trekking dan pementasan drama. Majlis Perasmian Penutup disempurnakan oleh YBhg. Datin Sri Yusrinah Ayub, isteri  Dato' Sri Dr. Khair Mohamad Yusof, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia yang merupakan Pengerusi PUSPANITA KPM. Majlis penutup juga turut dihadiri oleh Pn .Roslina Mior Adlan, Timbalan Pengerusi PUSPANITA KPM yang juga isteri kepada Setiausaha Bahagian Kanan Pengurusan Pengajian Tinggi dan juga Datin Akbal Hanam Talip, isteri TKPPM (Keguruan) yang merupakan Penyelaras Biro Pendidikan PUSPANITA.

Kem Iman berkongsi beberapa keping gambar yang sempat diperolehi sepanjang kem tersebut berlangsung. Feedback yang diterima amat memberangsangkan. Semoga para peserta berseronok dan jumpa lagi dalam English in Camp akan datang, InsyaAllah.