Friday, November 26, 2010

MAHA 2010 - penginapan alternatif

Salam dan sejahtera,

Sukacita Kem Iman ingin berkongsi maklumat dengan para pembaca mengenai MAHA 2010. MAHA 2010 (Malaysian Agriculture, Horticulture and Agrotourism) adalah siri pameran pertanian yang diadakan secara dwi tahunan. Pelbagai acara seperti pameran, jualan, seminar dan banyak lagi acara berkaitan pertanian akan berlangsung. Para pengunjung berpeluang untuk mendapatkan maklumat berkaitan industri pertanian bukan sahaja di dalam malah luar negara dan mengetahui akan peluang perniagaan dalam bidang pertanian mahupun teknologi terkini pertanian yang sedang diguna pakai.

Pada tahun ini, MAHA akan berlangsung dari 26 November 2010 - 5 Disember 2010 di MAEPS, Serdang. Untuk maklumat lanjut, para pembaca boleh melayari http://www.mahaexpo2010.com/bm/ atau http://www.mahaexpo2010.com/index.html .

Jadi, apa kaitannya MAHA 2010 dengan Kem Iman.

Baiklah tuan-tuan dan puan-puan para pembaca yang budiman, Kem Iman telah dimaklumkan bahawa MAHA 2010 pada kali ini akan melibatkan peserta dari luar negara. Dijangka hotel-hotel pelbagai bintang dan penginapan tanpa bintang berdekatan tempat berlangsungnya MAHA 2010 akan habis ditempah. Kem Iman terfikir sekiranya terdapat pengunjung MAHA 2010 yang datang secara berkumpulan dan memerlukan penginapan yang selesa dengan harga yang berpatutan, mungkin Kem Iman boleh menjadi tuan rumah kepada kumpulan pengunjung ini sekiranya ada kekosongan bilik penginapan di Kem Iman.

Selepas penat mengunjungi pameran MAHA yang padat dan sesak, mungkin deruan dan kesejukan air Sungai Semungkis dan kehijauan flora dan bunyi-bunyian fauna di Kem Iman dapat memberikan ketenangan dan menghilangkan penat selepas menghadiri pameran MAHA. Kenapa tidak? Ingin mencuba?

Apapun, ini hanyalah sekadar lontaran idea dari Kem Iman untuk direnung-renungkan. Meminjam ungkapan lazim artis-artis yang baru membuat kemunculan di Malaysia, kehadiran Kem Iman hanyalah untuk "meraikan dan memeriahkan" dunia penginapan di Malaysia.

Sekian.

Tuesday, November 23, 2010

Kem Iman DSemungkis Berubah Wajah

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Pertama sekali, Kem Iman ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat hari raya aidiladha kepada para pembaca yang budiman. Walaupun ucapan ini agak lewat, apa yang lebih penting lagi adalah bagaimana umat Islam dapat menghayati roh aidiladha ini dan menerapkannya di dalam kehidupan seharian untuk menjadi insan yang lebih baik dan semakin baik.

Seperti lazimnya, Kem Iman mengakui keterbatasan waktu berbanding jadual yang padat menyebabkan agak lama blog ini tidak dikemaskini, lebih 3 bulan. Maklumlah, sibuk semasa bulan ramadhan dan syawal, ditambah pula dengan musim peperiksaan dan musim haji tak lupa deepavali. Apapun, pada kali ini Kem Iman ingin berkongsi dengan para pembaca perkembangan terkini Kem Iman sepanjang blog ini menyepi.

Untuk makluman semua, dalam post sebelum ini Kem Iman ada menyebut sepintas lalu mengenai pembinaan satu blok bangunan penginapan lapan bilik dan satu blok bangunan pejabat. Sukacita dimaklumkan bahawa pembinaan kedua-dua buah blok tersebut telahpun siap sepenuhnya dan mula beroperasi bagi melayani pengunjung-pengunjung di Kem Iman.








SEBELUM









SELEPAS
Bangunan pejabat 2 tingkat (kiri), bangunan penginapan (kanan)


Di samping itu, kapasiti dewan makan juga telah dipertingkatkan tanpa melibatkan struktur binaan tambahan. Apa yang dibuat adalah memasang bumbung pada kawasan lapang di sekitar dewan makan.

(Tengah) bumbung hijau yang dipasang di sebelah dewan makan

Alhamdulillah. Mudah-mudahan perubahan wajah Kem Iman dengan adanya kedua-dua buah blok ini dan peningkatan kapasiti dewan makan, akan dapat meningkatkan tahap kepuasan pengunjung Kem Iman.

Selain daripada itu, walaupun pada asalnya Kem Iman berhasrat untuk menghentikan kerja-kerja naik taraf kemudahan yang lain seusai pembinaan kedua-dua buah blok tersebut, tidak dapat tidak, kerja-kerja naik taraf kemudahan terpaksa diteruskan. Kali ini, kerja-kerja naik taraf akan melibatkan pembesaran dewan serbaguna bagi menampung kumpulan pengunjung yang lebih besar pada satu-satu masa.

Harapan Kem Iman dengan perubahan wajah yang telah dijalankan mahupun yang sedang berjalan adalah bagi memperbaiki perkhidmatan yang ditawarkan secara berterusan supaya kepuasan pelanggan sentiasa terpelihara dan menjadi keutamaan.

Tidak lupa juga Kem Iman ingin mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada pengunjung Kem Iman sepanjang blog ini tidak dikemaskini yang terdiri daripada Kolej Komuniti Hulu Langat, SK Sungai Melut (A) Sepang, SK Bukit Raya Cheras, SK Dato' Abu Bakar Baginda, Jabatan Pelajaran Negeri Selangor dan Politeknik Johor Bahru.

Akhirnya, sedikit gambar terkini Kem Iman untuk tatapan pembaca yang budiman.


Sekian