Monday, August 9, 2010

A Quick update

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Telah hampir 3 bulan blog ini tidak dikemaskini atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Walau bagaimanapun, Kem Iman masih beroperasi seperti biasa. Antara organisasi yang telah mengadakan aktiviti perkhemahan di sini adalah antaranya SK Kota Warisan (kali kedua), SK Puchong Perdana, SK Puchong Batu 14, SK Sungai Pelek, IKBN Peretak dan IKTBN Sepang (juga kali kedua). Gambar-gambar aktiviti boleh didapati di laman facebook Kem Iman melalui pautan di sebelah kanan blog ini.

Di samping itu, untuk makluman pembaca Kem Iman turut dalam peringkat akhir menyiapkan satu blok bangunan penginapan 8 bilik dilengkapi bilik air yang boleh menampung seramai 32 orang pada satu-satu masa dan juga satu blok bangunan pejabat sebagai usaha berterusan untuk meningkatkan kualiti kemudahan dan perkhidmatan kami. Blok-blok ini dijangka akan siap sepenuhnya pada penghujung bulan ini.

Selepas ini, Kem Iman berhasrat untuk menghentikan sementara kerja-kerja naik taraf kemudahan dan memberi tumpuan kepada perkhidmatan teras kami dengan kemudahan sedia ada bagi memastikan keselesaan pengunjung Kem Iman.

Dikesempatan ini juga, Kem Iman ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah menyokong kami sehingga ke hari ini samada secara langsung atau yang tidak langsung. Kami dengan rasa rendah diri dan insaf sedar bahawa masih terdapat banyak kekurangan dalam perkhidmatan yang kami sediakan dan akan berusaha dari masa ke semasa untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan dan kemudahan kepada pengunjung Kem Iman. Kami percaya dengan sokongan dan saranan daripada semua pihak, kami akan dapat menawarkan kemudahan dan perkhidmatan yang setanding dengan pusat-pusat latihan yang telah sedia kukuh dan bersama-sama berganding bahu untuk memainkan peranan dalam agenda pembangunan modal insan negara.

Akhir kalam, Kem Iman turut mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadhan al Mubarak kepada semua umat Islam dan mudah-mudahan kita semua dipermudahkan untuk beramal dan mendapat pahala yang berganda dalam bulan ini serta diberi kekuatan untuk Istiqamah dalam beribadat untuk tempoh yang seterusnya.

Sekian.