Tuesday, January 18, 2011

Salam Maal Hijrah 1432 H dan Selamat Tahun Baru 2011 M



Salam dan sejahtera,

Pada post kali ini, Kem Iman suka untuk mengambil kesempatan mengucapkan Salam Maal Hijrah dan Selamat Tahun Baru kepada pembaca yang dihormati. Kem Iman akui ucapan ini agak terlewat namun, memandangkan blog ini tidak dikemaskini setiap hari wajarlah kami mengucapkannya pada posting kali ini.

Seperti pertubuhan-pertubuhan lain baik syarikat, koperasi, NGO dan Jabatan Kerajaan mahupun individu-individu lain yang bermuhasabah bagi tempoh sepanjang tahun yang lalu serta menetapkan azam baru bagi tahun yang mendatang, Kem Iman turut tidak ketinggalan untuk mengimbau apa yang telah kami lalui sepanjang tahun 2010.

Bagi Kem Iman, Tahun 2010 merupakan tahun yang sangat signifikan berikutan kerja-kerja naik taraf kemudahan di Kem Iman dijalankan secara besar-besaran. Ini merupakan tempoh yang kritikal bagi Kem Iman dari segi masa, tenaga dan kewangan apatah lagi tiada aktiviti yang dapat dijalankan sepanjang tempoh ini. Syukur dan segala puji bagi Allah jua, kerja-kerja naik taraf ini dapat disiapkan pada pertengahan bulan April 2010 walaupun sedikit terlewat daripada jadual.

Sejak dari itu, Kem Iman telah menyambung operasi dan mula menerima pengunjung dari pelbagai institusi pendidikan dan kemahiran baik di peringkat sekolah rendah, menengah sehingga ke peringkat pengajian tinggi yang menjalani pelbagai aktiviti luar di Kem Iman. Terima kasih diucapkan kepada semua. 

Teruja atas sambutan dan dorongan menggalakkan yang diterima dari pelbagai pihak terutama sekali  dari para pengunjung, Kem Iman juga telah menjalankan kerja-kerja naik taraf kemudahan pada tahun 2010 dalam skala yang lebih kecil dengan menambah blok penginapan bilik dan blok pejabat serta pembesaran dewan makan seperti yang telah kami maklumkan dalam post sebelum ini yang telah pun siap pada bulan November 2010. Di samping itu, Kem Iman turut menjalankan satu lagi kerja naik taraf yang melibatkan penambahan satu (1) lagi blok penginapan asrama dan pembesaran dewan serbaguna daripada dewan setingkat kepada dewan serbaguna dua (2) tingkat yang boleh memuatkan bilangan peserta yang lebih ramai pada satu-satu masa. Kerja-kerja ini dijangka siap pada bulan Mac tahun ini. Mudah-mudahan usaha ini dapat memperlihatkan komitmen kami kepada pengunjung-pengunjung Kem Iman yang diraikan semua.

Pun begitu, tidak wajar sekiranya Kem Iman tidak mengambil peluang pada posting tahun baru kali ini untuk menilai kualiti perkhidmatan dan kemudahan yang kami sediakan berdasarkan maklum balas yang kami terima dari semua pengunjung. Terima kasih kepada pengunjung yang sentiasa memberikan maklum balas kepada kami dalam usaha kami meningkatkan kualiti perkhidmatan kami. Kami dengan rasa rendah diri dan besar hati mengambil maklum akan semua maklum balas yang telah diterima dan adalah menjadi harapan dan keutamaan kami untuk memperbaiki semua perkara yang telah dinyatakan. Kami percaya dengan sokongan berterusan yang diterima, Insya'Allah kami akan meneruskan penambahbaikan dalam tahun 2011 ini.


Bagi permulaan tahun 2011 ini, Kem Iman ingin berkongsi dengan para pembaca sekalian pamphlet yang telah kami sediakan dan edarkan bagi tujuan pemasaran. Sudah tentu juga, pihak Kem Iman tiada halangan sekiranya ada pembaca yang baik hati dan sudi memanjangkan pamphlet ini kepada pihak yang berkenaan dan berminat untuk menjalankan aktiviti di kem Iman.










Kem Iman turut mengalu-alukan para pengunjung yang ingin berkongsi gambar dan kenangan sepanjang mengadakan aktiviti di sini bagi dipaparkan di blog ini atau di laman facebook kami.


Sekian